TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) XXI di Sarawak bermula 17 Ogos 2024 akan mencipta sejarah apabila sah mempertandingkan jumlah acara tertinggi untuk disaingi 15 kontinjen bertanding.
Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, secara rasmi mengesahkan 488 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di Sarawak mengatasi jumlah tertinggi 426 acara, dua tahun lalu.
Sejumlah 487 acara memenuhi syarat minimum penyertaan enam Kontinjen Negeri untuk dipertandingkan berdasarkan kepada pengesahan pendaftaran akhir yang ditutup pada 5 Julai lalu dengan acara Sepak Takraw Berpasukan Wanita diberi kebenaran khas setelah hanya lima negeri mengesahkan penyertaan mereka.
Mesyuarat Pendaftaran Delegasi pada 7 dan 8 Ogos akan membuat pengesahan pendaftaran nama atlet serta pegawai kontinjen sebelum acara pertama, bola sepak lelaki, membuka tirai pertandingan pada 10 Ogos di lima venue pertandingan di Bintulu serta Mukah dan Sibu dengan dua venue.
Sementara itu, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia turut memilih negeri Selangor sebagai tuan rumah Sukma dan Para Sukma XXII yang dijadualkan pada tahun 2026.
Sistem penggiliran tuan rumah Sukma ditetapkan secara berselang seli setiap dua tahun di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri. Walau bagaimanapun, negeri-negeri boleh menawarkan diri pada giliran MSN sekiranya tidak melibatkan kos pengelolaan yang besar serta memiliki kemudahan mencukupi.
Berdasarkan kepada syarat berkenaan, Selangor tampil menawarkan diri dan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sebulat suara mengesahkan pemilihan Selangor selaku tuan rumah Sukma 2026 dengan Kelantan kemudiannya mengambil giliran selaku tuan rumah Sukma 2028.
Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memastikan temasya Sukma relevan sebagai platform pertandingan berkualiti untuk atlet-atlet remaja daripada seluruh negara.
Selain itu ianya juga memberi peluang negeri-negeri untuk memiliki fasiliti sukan terbaik serta berkemampuan menguruskan operasi logistik hasil daripada pengalaman selaku tuan rumah Sukma.