BUSANA elegan yang menggambarkan masyarakat Malaysia bakal diperagakan atlet-atlet Malaysia ketika perbarisan masuk kontinjen di majlis pembukaan rasmi Sukan Olimpik Paris 2024.

Mendapat sentuhan pereka fesyen terkemuka negara, Rizman Ruzaini, kontinjen negara sudah pasti akan tampil bergaya dan elegan yang menggambarkan kesepaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut menjelaskan pakaian rasmi ini bukan sahaja elegan tetapi ianya memberikan keselesaan buat para atlet yang menyertai upacara pembukaan rasmi itu.

Rekaan Rizman Ruzaini bakal diperagakan Kontinjen Malaysia di Paris

“Tahun ini kita telah mendapatkan khidmat pereka terkenal negara, Rizman Ruzaini dan saya percaya apabila atlet memakai pakaian itu, ianya akan menjadi kebanggaan buat mereka kerana ianya bercirikan rakyat Malaysia dan selesa dipakai oleh semua atlet.

“Satu perkataan yang boleh saya katakan tentang pakaian ini adalah elegan dan nantikan pada 25 Julai nanti,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Sementara itu, Hannah turut menegaskan bahawa taklimat keselamatan atlet sudah pun dilakukan bersama-sama Kedutaan Besar Malaysia di Paris bagi memastikan tahap keselamatan kontinjen sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Hannah Yeoh tegaskan keselamatan atlet sentiasa jadi keutamaan

“Kita sudah adakan beberapa mesyuarat dengan duta kita di sana dan topik keselamatan menjadi topik utama dengan semua atlet perlu berada di dalam Perkampungan Sukan bagi memastikan keselamatan mereka semua terjamin,” jelasnya.