KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mendedahkan bahawa semangat juang yang tinggi pada pasukan, terutama pemain importnya Noor Al-Rawabdeh adalah satu tanda yang membuktikan mereka masih positif akan keputusan tewas 2-3 kepada Terengganu.
Perkara mungkin lebih teruk apabila skuad Gergasi Merah mungkin kehilangan Al-Rawabdeh pada babak kedua perlawanan selepas dirinya mengalami insiden serius dalam perlawanan separuh masa pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Namun, Al-Rawabdeh sendiri yang memilih untuk meneruskan permainan dan Nidzam tidak menghalangnya, malah memberi pujian akan komitmen dan semangat tinggi yang dipamerkan oleh pemain tersebut.
“Noor sepatutnya kena lima jahitan ketika separuh masa kedua, tetapi dia memberitahu tetap ingin membantu pasukan, juga pemain-pemain lain yang kekal terus berjuang.
“Jadi jika anda tanya saya, betul, bola sepak adalah kombinasi daripada segi komitmen, latihan personaliti dan taktik.
“Perlu letakkan semua ini dalam satu pinggan yang cantik itu agak susah, tetapi itu menjadi tanggungjawab saya dan pegurusan serta jurulatih untuk memastikan kita bermain lebih baik dan cemerlang menjelang perlawanan akan datang,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan pada malam Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Nidzam turut menyifatkan bahawa kekalahan 2-3 bersama Terengganu FC bukan satu perkara yang terlalu buruk, apatah lagi mengakui bahawa mereka mempunyai para pemain yang berkualiti dan berkelebihan.
“Bola sepak ini seperti kehidupan, kalau pandang keputusan kalah 2-3 terlalu teruk, jadi di MBPJ kita tidak akan ada harapan. Oleh itu, saya yakin kita masih ada harapan dan untuk menidakkan hasrat di MBPJ itu tidak adil untuk pasukan Selangor.
“Hari ini (Jumaat), pemain menunjukkan semangat dan komitmen positif dan kita datang ke sini bukan hanya untuk bertahan, tetapi kita datang ke sini untuk menjaringkan gol buat Selangor,” tambah Nidzam Jamil.
The Red Giants akan bersiap sedia menerima kunjungan Sang Penyu pada 3 Ogos depan, dan cuba memburu sebanyak boleh jaringan pada separuh akhir kedua Piala FA 2024 untuk menempatkan pasukan ke pentas final.