SEORANG penyokong meninggal dunia ketika hendak menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Remaja lelaki berusia 18 tahun dikenali Muhammad Danish Hakim itu rebah sewaktu berada di tempat duduk penonton pada jam 7 petang.

Mengikut laporan, remaja tersebut datang ke stadium bersama adiknya untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara KDA FC dan JDT, namun rebah dan tidak sedarkan diri sewaktu berada di tempat duduk penonton sebelum perlawanan bermula.

@aisyah.sofea.eryna

Salam takziah buat keluarga arwah adik mohd danish hakim.moga arwah ditempatkan dlm kalangan org yg beriman. Jom sama-sama kita sedekahkan al-fatihah. #allahsayang

♬ Bila Waktu T’lah Berakhir – Opick

Hasil semakan dan temubual dengan waris mendapati remaja itu merupakan pengidap sakit jantung sejak kecil, dan pihak perubatan Hospital Sultanah Bahiyah mengesahkan sebab kematian sebagai “Complex Cyanotic Heart Disease,” iaitu berkaitan sakit jantung yang dihidapi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Salawati Saad dalam laporan media tempatan mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Rata-rata pengguna TikTok menzahirkan ucapan takziah buat Allahyarham.

“Innalillahiwaainnailahirojiun.. Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Danish Hakim .. Aamiin , Salam takziah buat keluarga Allahyarham,” tulis leeya_eya.