KETUA jurulatih Guar Syed Alwi FC, Amar Rohidan gembira pasukannya mengutip tiga mata pertama di hadapan penyokong sendiri.
Pasukan yang berpangkalan di Perlis itu berjaya menewaskan Kuala Muda FA 4-2 dalam perlawanan pertama Liga A2 Amateur di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar semalam.
Meskipun Guar Syed Alwi FC ketinggalan seawal minit ke-7 menerusi sepakan penalti pihak lawan, mereka tidak berputus asa untuk bangkit dengan membalas tiga gol sebelum tamat babak pertama.
“Alhamdulilah kerana kami berjaya dapat tiga mata, cumanya dalam perlawanan ini kami ada melakukan beberapa kesilapan namun kami masih mampu untuk melawan untuk jaringkan gol.
“Kami memberi gol yang mudah kepada pihak lawan pada babak pertama jadi saya tekankan kepada pemain ketika separuh masa untuk memperkemaskan balik bahagian pertahanan.
“Kesilapan kami mungkin berpunca akibat kekurangan fitness dalam kalangan pemain tetapi ini baru perlawanan pertama jadi fitness itu akan dipertingkatkan lagi untuk perlawanan akan datang,” katanya selepas perlawanan.
Perlawanan pembuka tirai Liga A2 Amateur semalam menyaksikan Guar Syed Alwi FC berjaya menewaskan Kuala Muda FA hasil jaringan Nashrul Shazrin pada minit ke-13 dan 91, Haziq Muiz (22′) dan Arif Nadzman (30′).
Manakala gol Kuala Muda FA dijaringkan oleh Firdaus Rahman pada minit ke-7 hasil sepakan penalti dan Fakhrul Khuzaimi pada minit ke-33.