ATLET angkat berat kebangsaan, Mohamad Aniq Kasdan mensasarkan untuk melakukan angkatan 305kg dalam acara 61kg yang disertainya di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan dia cuba untuk meraih pingat.

Orang besi berusia 24 tahun itu yang bakal melakukan penampilan sulungnya di Olimpik sudah berjaya membuat angkatan 302kg dan kini dalam proses latihan akhir untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai.

Aniq yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika hendak berlepas ke Antalya, Turkiye bagi menghadapi sesi latihan dan penyesuaian diri turut menganggap badang dari Thailand dan Amerika Syarikat sebagai antara pencabar di Paris nanti.

Aniq fokus untuk perbaiki angkatan ketika di Paris

“Thailand dan Amerika Syarikat memang antara pencabar utama selain mereka lebih muda setahun dari saya. Majoriti yang ke Olimpik ini adalah dari Asia Tenggara jadi saya sudah biasa bersaing dengan mereka dan dapat jangkakan satu saingan yang sengit.

“Saya layak ke Olimpik dengan angkatan 296kg dan mereka yang lain ada layak dengan angkatan 299kg dan 300kg, jadi tidak banyak beza dan segalanya akan ditentukan ketika hari pertandingan,” katanya kepada media.

Aniq juga memaklumkan dia memilih Turkiye sebagai medan latihan terakhir kerana ingin membiasakan diri dengan keadaan cuaca dan zon masa dan dia berharap tempoh latihan selama dua minggu ini cukup untuk berikan dirinya kelebihan ketika kejohanan sebenar.

Aniq dan jurulatih berlepas ke Antalya

“Persiapan di Turkiye ini lebih kepada persediaan diri dari segi cuaca dan zon masa kerana ianya tidak jauh dari Paris dan saya akan ikut arahan jurulatih yang sudah mencipta beberapa program latihan sepanjang dua minggu di sana,” jelasnya.

Aniq cuba untuk mencipta rekod menjadi atlet angkat berat pertama negara memperolehi pingat dan akan membuka gelanggang pada 7 Ogos di South Paris Arena 6, Paris Expo Centre.