PENGENDALI Kelantan Darul Naim FC II (KDN FC II), Khairan Eroza Razali enggan memberi sebarang tekanan kepada anak buahnya menjelang aksi Piala MFL bertemu Penang FC di laman sendiri, Selasa ini.
Beliau sedar status sebagai pendahulu serta rekod tanpa kalah akan memberikan barisan pemainnya satu tekanan yang cukup besar bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam carta liga.
Justeru itu, Khairan memberi tumpuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan agar anak buahnya kekal dengan prestasi cemerlang seperti ditunjukkan pada lima perlawanan sebelum ini.
“Saya tidak mahu beri tekanan kerana tumpuan utama ialah sentiasa fokus dari perlawanan ke perlawanan.
“Begitu juga perlawanan sebelum ini, saya tekankan bahawa mereka (pemain) kena jalankan tugas serta tidak melupakan tanggungjawab masing-masing.
“Barisan kejurulatihan juga menjalankan tugas dengan sempurna malah kerjasama dari pihak pengurusan mengambil berat keperluan pemain, maka suasana harmonis membolehkan mereka (pemain) sentiasa tenang sebelum beraksi,” ujarnya menerusi kenyataan yang dimuat naik KDN FC.
Mengulas lanjut pertembungan dengan Penang FC, Khairan sedar tugasan berat yang bakal mereka hadapi tetapi yakin anak buahnya bersedia untuk menjulang tiga mata di hadapan penyokong sendiri.
“Penang FC sebuah pasukan yang baik dari segi teknik dan taktikal, tugas berat untuk kami untuk menewaskan mereka.
“Tetapi seperti saya beritahu, pemain saya tahu setiap tugas dan tanggungjawab mereka diatas padang nanti,” tambah beliau.