SEPERTI yang kita cakna, Selangor FC masih belum dapat menamatkan badi kekalahan di perlawanan ‘away‘, meskipun ketua jurulatihnya Nidzam Jamil telah melakukan persediaan rapi untuk bertandang ke gelanggang lawan.

Namun bagi jurulatih berusia 44 tahun itu, tiga kekalahan ‘away‘ secara berturut-turut adalah bukan perkara yang membimbangkan, kerana beliau masih melihat komitmen berterusan yang dipamerkan oleh anak buahnya.

Walau bagaimanapun, Nidzam Jamil mengakui bahawa kesilapan yang dilakukan mungkin daripada segi kecuaian, dan mahu mereka meningkatkan fokus terutama semasa menyerang dalam perlawanan.

“Sekali lagi, sebelum ini kita kalah di Kuching, Kuala Lumpur dan sekarang Terengganu. Sudah tentu kekalahan di ‘away‘ semua ini bukan membimbangkan, tapi perkara yang perlu kita atasi dan saya suka bercakap tentang komitmen.

Nidzam Jamil, pengendali Selangor FC.

“Untuk menjawab soalan, kekurangan kita adalah kita harus lebih fokus menyerang dalam perlawanan, tetapi sekali lagi, positifnya kita akan bermain di Stadium MBPJ dan saya fokus untuk 90 minit di sana (separuh akhir kedua Piala FA),” ujar Nidzam ketika ditanya oleh FLASH SUKAN.

Sebelum ini, portal ini melaporkan bahawa Selangor FC telah ditewaskan oleh Terengganu FC, 2-3 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 di Stadium Sultan Zainal Abidin.

Kekalahan di gelanggang lawan itu membuktikan bahawa skuad kendalian Nidzam Jamil masih perlu meningkatkan mutu persiapan pasukan untuk lebih bersedia bertemu musuh di tempat lawan.

“Bola sepak adalah kombinasi daripada segi komitmen, latihan personaliti dan taktik. Perlu letakkan semua ini dalam satu pinggan yang cantik itu agak susah, tetapi itu menjadi tanggungjawab saya dan pegurusan serta jurulatih untuk memastikan kita bermain lebih baik dan cemerlang menjelang perlawanan akan datang,” tambah Nidzam.