ATLET menembak negara, Johnathan Wong mengakui dia gembira dengan persiapan yang dilakukan oleh dirinya untuk memberikan saingan di Sukan Olimpik Paris bermula 26 Julai 2024.

Penembak kelahiran Melaka itu yang membuat penampilan kedua di Sukan Olimpik itu turut berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu dirinya melakukan persiapan untuk dirinya mencabar pingat.

“Saya rasa kali ini persediaan mencukupi dan bersedia untuk beraksi dan mahu lakukan yang terbaik kerana ini adalah persiapan paling baik berbanding sebelum ini dan berharap lakukan yang terbaik kali ini di Paris.

Johnathan gembira dengan persiapan ke Olimpik kali ini

“Kita dapat lakukan persiapan secara menyeluruh dan lakukan simulasi semasa latihan dan servis dari ISN dari segala aspek dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Paris.

Ditanya sama ada dia yakin mampu membawa pulang pingat, Johnathan nyata teruja dan yakin dapat memberikan saingan dengan segala-galanya bergantung kepada keadaan semasa hari pertandingan.

“Siapa yang tidak mahu menang dan negara kita juga mencari pingat emas pertama. Saya yakin pasukan sudah lakukan sepenuhnya dan berharap segalanya berjalan lancar semasa hari pertandingan,” jelasnya.

Johnathan ketika sesi latihan

Johnathan juga menyatakan dia akan melakukan ujian gelanggang sejurus tiba dari Kuala Lumpur dengan beberapa rangka latihan sudah disediakan oleh jurulatih, Firdaus Abdul Rahim

“Gelanggang sudah dibuka dan kami akan mencubanya sejurus tiba untuk menyesuaikan diri tetapi dari gambar yang saya lihat, ianya sama sahaja seperti mana-mana lapang sasar.

Penembak harapan negara itu akan memulakan saingan menerusi pusingan kelayakan pada 27 Julai dan acara akhir akan berlangsung pada 28 Julai 2024 di Chateauroux Shooting Centre, Paris.