SEBANYAK 56 pasukan telah menyertai Kejohanan Boling Padang Open Pairs Kuala Lumpur (KL) 2024, yang berlangsung selama empat hari sejak 18 Julai lepas .
Setiausaha Persatuan Boling Padang KL, Mohamed Iqbal Yusoff Sa meluahkan rasa bangga terhadap penganjuran kejohanan keenam yang diadakan di Bukit Kiara, setelah pihaknya berjaya mencapai sasaran dalam mengasah bakat golongan remaja yang menyertai kejohanan ini dari awal.
Jadi tidak dinafikan, ia merupakan satu detik kejayaan setelah Persatuan Boling Padang KL tidak pernah berhenti berusaha menjayakan kejohanan setiap bulan pada tahun ini.
“Ada tambah baik yang saya nampak setelah beberapa kejohanan yang dianjurkan, terutama ramai pemain-pemain remaja yang menjadi sasaran kita, berjaya melangkah ke final.
“Mereka dahulunya hanya menamatkan perlawanan sehingga peringkat kedua dan suku akhir. Tetapi hari ini (Ahad), remaja yang bermain final dan itu cukup membanggakan,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN di Bukit Kiara.
Dalam Kejohanan Boling Padang Open Pairs Kuala Lumpur (KL) 2024, pasukan SS 24 dari Selangor berjaya merangkul tempat pertama dalam aksi final yang dipertandingkan pada petang Ahad.
Untuk maklumat, pihak Persatuan Boling Padang KL bakal menganjurkan perlawanan seterusnya iaitu KL Men Open Fours & Women Open Fours 2024 pada 8 hingga 11 Ogos 2024.