AKSI separuh akhir pertama Piala FA hujung minggu lalu, boleh dianggap antara saingan terbaik pernah dihasilkan dalam kancah bola sepak tempatan beberapa tahun kebelakangan ini, sehinggakan status pasukan pilihan yang ada pada Johor Darul Ta’zim (JDT), tidak boleh menjadi sandaran dek kecemerlangan Sang Kenari beraksi di laman sendiri.
Namun, prestasi di Stadium Darul Aman itu, mungkin menjadi yang terbaik buat Kedah Darul Aman FC, bukannya JDT.
Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, Kedah sememangnya sebuah pasukan yang baik meskipun bermula dengan agak perlahan di awal saingan Liga Super.
“Perlawanan menentang JDT… Kedah telah mempamerkan aksi terbaik mereka dan itu perlu diakui.
“Apabila bermain di Stadium Darul Aman, setiap pasukan tidak akan mudah untuk mengatasi Kedah, kami Penang juga hanya mampu seri,” kata Akmal, yang pasukannya tersingkir dari saingan suku akhir Piala FA di tangan KDA agregat 0-1.
Menurutnya, KDA memiliki kekuatan ketara terutamanya pemain import.
“Kekuatan Kedah adalah pada kualiti pemain import mereka, semuanya berkualiti.
“Sony (Norde), (Sukhrob) Nurulloev… banyak gerakan serangan pasukan Kedah melalui mereka manakala Habib Haroon pula konsisten di tengah.
“Namun perlawanan kedua pastinya tidak mudah untuk Kedah kerana kita tahu kekuatan JDT, mereka hanya tidak mempamerkan aksi terbaik tempoh hari (separuh akhir pertama),” kata Akmal.
Sambil mengakui realiti bola sepak, apa sahaja keputusan boleh berlaku dan KDA mungkin mampu menukar keputusan di Stadium Darul Aman ketika berkunjung di Stadium Sultan Ibrahim.
Namun beliau tetap memilih JDT sebagai pilihan utama untuk ke final: “Perlawanan kedua agak sukar untuk Kedah menang… kita tahu, di atas kertas, JDT jauh lebih baik daripada mana-mana pasukan.”
Jumaat lalu, JDT membawa bekalan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kedah, dan kedua-duanya akan berentap sekali lagi pada 3 Ogos, bagi mengesahkan pasukan ke final Piala FA 2024.
Satu lagi perlawanan membabitkan Terengganu dan Selangor.
Terengganu menang 3-2 ke atas The Red Giants di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, akan berkunjung ke Stadium MBPJ.