BAHANG perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 kian memuncak dengan pengesahan tiga pasukan daripada kategori ‘World Team’ yang bakal memperagakan aksi kayuhan hebat buat peminat-peminat sukan berbasikal tempatan.

Pengesahan tiga pasukan itu – EF Education-Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan dari Kazakhstan, dan DSM-Firmenich PostNL dari Belanda – melengkapkan senarai 22 pasukan yang bakal bertanding pada edisi ke-28 perlumbaan berbasikal utama negara.

Kejayaan memikat tiga pasukan yang sedang menempa kejayaan pada perlumbaan Tour de France (TDF) tahun ini adalah pencapaian membanggakan buat penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berbanding penyertaan hanya dua pasukan World Team pada LTdL tahun sebelumnya.

Pelumba DSM-Firmenich PostNL, Romain Bardet dan Frank van den Broek, memenangi dua tempat teratas pada peringkat pertama Tour de France tahun ini. Pelumba EF Education-Easypost, Richard Carapaz pula berjaya menguasai jersi kuning pendahulu keseluruhan selepas peringkat ketiga, memenangi Peringkat ke-17 dan merangkul kategori Raja Bukit Tour de France, manakala pelumba berpengalaman Astana Qazaqstan, Mark Cavendish, muncul pemenang perlumbaan peringkat kelima.

Tujuh pasukan daripada kategori ‘Pro Team’ dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) juga sudah disahkan, sekaligus membolehkan LTdL 2024 memenuhi syarat penganjuran perlumbaan berstatus Pro Series di luar Eropah.

Lima daripada pasukan Pro Team itu – Polti Kometa (Sepanyol), Tudor Pro Cycling (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF-Faizane (Itali), Equipo Kern Pharma (Sepanyol) dan Euskaltel-Euskadi (Sepanyol) – kini berstatus ‘Grand Tour Pro Team’ dan dijemput bertanding dalam beberapa perlumbaan utama dunia seperti Giro de Italia dan Vuelta Espana 2024.

Tiga pasukan Malaysia juga akan bertanding pada LTdL 2024 iaitu Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG), dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan keseluruhan 12 pelumba negara beroleh peluang bersaing kayuhan dengan pelumba-pelumba handalan dunia.