JAWATAN ditinggal Kim Pan-gon terus menjadi spekulasi apabila bekas pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo pula dikaitkan untuk mengepalai Harimau Malaya.

Media Vietnam sendiri, mendakwa mendakwa pengendali dari Korea Selatan itu sebagai antara calon utama menggantikan tempat posisi dikosongkan Pan-gon.

Biarpun pelbagai spekulasi bertiup kencang, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih berdiam diri dan tenang selepas melantik Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Dipersilakan… Kim Pan-Gon meninggalkan Harimau Malaya dan menjadikan jawatan Ketua jurulatih kebangsaan kini kosong tanpa pengganti tetap.

Spekulasi mengenai Hang-seo itu bersesuaian bagaikan mengulangi kenyataan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini, yang dilaporkan berkata, Hang-seo pernah menyatakan minat membimbing Harimau Malaya.

Pengendali berusia 66 tahun itu kini bertindak sebagai penasihat kelab Bac Ninh FC di Vietnam, turut dikatakan menjadi buruan pasukan kebangsaan Kemboja.

Namun laporan terkini media Vietnam, vnexpress.net memnyatakan bahawa jurulatih dari Korea Selatan itu menghadiri sesi temuduga sebagai jurulatih pasukan kebangsaan India, namun tidak terpilih.

Antara laporan media Vietnam mengaitkan Park Hang-seo dengan Harimau Malaya.

Selain Hang-seo, nama lain yang turut dikaitkan sebagai Pengendali Harimau Malaya Bekas pengendali Tajikistan, Petar Segrt.

Hal ini kerana, Segrt secara terbuka menyatakan minat menggalas peranan jurulatih Harimau Malaya.

Minat jurulatih Croatia itu timbul selepas jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon mengumumkan peletakan jawatannya sebagai jurulatih skuad kebangsaan Malaysia pada 16 Julai lalu.

Antara laporan media Vietnam berkaitan perburuan kerja sebagai jurulatih oleh Park Hang-seo.

Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta merta kerana komitmen peribadi, biarpun kontraknya dengan FAM masih berbaki hingga Disember 2025.

Staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun bagaimanapun akan terus kekal berdasarkan kontrak masing-masing.