TIRAI rasmi pembukaan Sukan Olimpik ke-33 di Paris belum dibuka, namun skuad memanah India menjangkakan mereka bakal membawa pulang banyak pingat dari Esplande des Invalides.
Olimpian negara itu, Sanjeeva singh menyuarakan keyakinannya selepas pemanah India melakukan persiapan cemerlang menjelang Temasya Paris, dan yakin mereka berada pada situasi terbaik memenangi pingat pertama memanah di Sukan Olimpik.
Pada edisi kali ini, India memiliki enam pemanah yang akan bersaing dalam kesemua enam kategori, lelaki dan wanita individu, berpasukan lelaki dan wanita serta berpasukan campuran.
“Berbanding di Tokyo, persiapan kali ini jauh lebih baik dengan perancangan ditekankan kepada latihan saintifik, perapian mental dan lebih penting memastikan menyediakan perlawanan simulasi selaras format Olimpik,” kata Sanjeeva, yang kini Pengarah Prestasi tinggi Penguasa Sukan India (SAI) di bahagian Pusat Kecemerlangan Kebangsaan bagi memanah.
Deepika Kumari dan Tarundeep Rai menjadi dua pemanah veteran menyertai skuad Olimpik India yang akan beraksi di temasya sukan tertinggi buat kali keempat.
Skuad berpengalaman itu akan turut dibarisi Pravin Jadhav yang akan beraksi di Paris sebagai temasya kedua selepas Tokyo, manakala Dhiraj Bommadevara, Bhajan Kaur dan Ankita Bhakat akan membuat penampilan pertama mereka.
Selepas menjalani latihan penyesuaian cuaca di Compeigne di Perancis, skuad memanah India menjadi antara yang pertama memasuki Perkampungan Sukan Olimpik Paris.
“Berdasarkan prestasi semasa dan cara pemanah kami menghadapi kejohanan, secara realistik kami mempunyai peluang meraih tiga pingat dalam acara individu lelaki, berpasukan lelaki dan berpasukan campuran.
“Antara tiga acara ini, satu pasti kami peroleh dan kami boleh mendapat bonus pingat menerusi acara wanita jika berpasukan mendapat keserasian bersama,” katanya lagi.
Pemanah India beraksi cemerlang tahun ini selepas trio Rai, Jadhav dan Bommadevara menang pingat emas Piala Dunia di Shanghai, mengalahkan juara Olimpik dari Korea Selatan.
Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita mereka layak ke Paris 2024 berdasarkan ranking dunia semasa.
Mengikut ranking dunia, pasukan lelaki India di kedudukan kedua di belakang Korea Selatan manakala pasukan wanita pula kelapan.
Acara memanah di Paris akan bermula 25 Julai, sehari sebelum majlis perasmian dan acara terakhir berlangsung pada 4 Ogos.