SUKAN Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos, bakal menjadi penganjuran terbesar acara sukan di Perancis.

Dengan jangkaan jutaan penonton hadir ke Kota Paris bagi memenuhi 35 venue, kota itu turut dijangka menerima 10,500 atlet daripada 200 wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan dan pasukan Pelarian Olimpik IOC yang mengambil bahagian dalam 329 acara sepanjang 19 hari temasya.

Pada edisi ke-33 temasya, sebanyak 32 jenis sukan dipertandingkan termasuk empat sukan yang baru diperkenal yang amat rapat dengan remaja.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memperkenal empat sukan baharu di Temasya Paris iaitu break dance, memanjat dinding, papan luncur dan meluncur ombak dalam usaha meraikan diversiti dan inklusiviti, kesamarataan gender dan memenuhi keseimbangan demografi masyarakat muda.

Penambahan empat jenis sukan itu membuktikan IOC sentiasa berusaha memodenkan Olimpik dan menjadikannya lebih relevan kepada generasi baharu.