KELANTAN Darul Naim FC II (KDN FC II) melakar kebangkitan dramatik menakjubkan untuk membenam cabaran Penang FC 3-2 pada perlawanan keenam Piala MFL 2024/25 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Kejayaan yang diraih itu meletakkan skuad bawah 23 tahun Sang Kijang Emas terus unggul dengan rekod tanpa kalah sekali gus kekal di takhta liga buat minggu ketiga berturut-turut dengan mengutip 16 mata.
Pada aksi hangat dihadapan lebih 250 penyokong yang bertandang, skuad kendalian Khairan Eroza terpaksa bangkit dua kali sebelum pertahanan, Muhammad Aqif Asyraf muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-86.
Penang FC mendahului 1-0 pada minit ke-12 selepas Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar berjaya menolak masuk berpunca dari serangan balas.
Bagaimanapun, Wan Mohd Fazli menyamakan kedudukan pada minit ke-18 setelah hantaran lintang Amirul Shafik disempurnakan menerusi tampanan deras tanpa mampu disekat bek Penang FC.
Muhammad Alif Ikmalrizal kembali meletakkan pelawat didepan pada minit ke-52 apabila menyudahkan hantaran silang leret dengan rembatan kencang ke dalam gawang KDN FC II.
Dua peluang termasuk satu sepakan penalti gagal digunakan Wan Mohd Fazli untuk menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-71 dan 73.
Namun, Ahmad Amjad akhirnya mengembirakan kem tuan rumah setelah hantaran jauh dari Muhammad Aqif Asyraf diselesaikan dengan rembatan padu dari dalam kotak penalti untuk mengikat semula perlawanan.
Usaha jelas tidak mengkhianati hasil, KDN FC II melengkapkan kebangkitan dramatik mereka menerusi jaringan jarak dekat Muhammad Aqif Asyraf setelah mendapat hantaran silang dari ketua pasukan, Muhammad Syahir Ab. Rasyid, empat minit sebelum perlawanan tamat.
Jaringan itu menyebabkan anak buah Manzoor Azwira melakukan asakan menggila pada minit-minit akhir perlawanan memaksa pemain KDN FC II lebih banyak berkampung di kawasan sendiri bagi mempertahankan gawang mereka dari dibolosi.
Minit ketiga pada masa tambahan, Penang FC mendapat satu peluang melakukan percubaan tetapi rembatan penyerang mereka sedikit sahaja melewati palang gol untuk mengakhiri perlawanan dengan kejayaan manis buat KDN FC II di laman sendiri.