PEMAIN Johor Darul Ta’zim, Francisco Geraldes mendapat pengiktirafan daripada pengelola liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas melakukan satu ‘assist’ yang cantik ketika perlawanan bertemu Sabah sebelum ini.

Pemain yang berasal dari Lisbon, Portugal itu memenangi Anugerah Hantaran Terbaik untuk perlawanan minggu ke-5 Liga Super selepas mendapat undian tertinggi sebanyak 61.45 peratus.

Francisco melakukan assist sebelum gol berjaya dijaringkan oleh Romel Morales pada minit ke-44 dalam perlawanan itu.

Apa yang menarik perhatian lagi ialah kedudukan pemain Portugal itu yang berada di tengah padang, sebelum melakukan satu hantaran jauh ke hadapan.

Romel yang melihat hantaran bola daripada Francisco melakukan larian sebelum menerima bola dan kemudian berjaya menewaskan penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.

Francisco telah menjaringkan empat gol dalam semua kejohanan bersama pasukan Harimau Selatan, dengan kesemua empat gol dicatat menerusi saingan Piala FA.