TEMPOH lima hari sebelum perlumbaan di Stade de France, cukup untuk jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menyesuaikan diri dengan cuaca dan persekitaran, dalam usaha menampilkan prestasi terbaik pada penampilan pertama di Sukan Olimpik.

Temasya Paris 2024, menjadi penampilan pertama Azeem dan pemilik rekod kebangsaan 100 meter (m) lelaki itu yakin, tiada tekanan ditanggungnya untuk berlari dengan baik.

Berlari sebagai underdog, Azeem yakin tiada tekanan. 

“Bagi saya, tak jadi masalah (berlepas lewat ke Paris) sebab sudah banyak pengalaman sebelum ini. Walaupun saya lihat pesaing terutama dari Asia Tenggara sudah berada di Paris dan saya masih berada di sini… saya yakin badan saya dapat sesuaikan diri dengan baik dari segi cuaca dan persekitaran di sana.

“Kita masih ada lima hari sebelum hari pertandingan sebenar. Dalam lima hari itu… ia sangat penting untuk saya jaga hidrasi, pemakanan dan tidur supaya saya berada dalam keadaan 100 peratus sebelum hari perlumbaan,” kata Azeem selepas menerima tajaan pakaian dari Mizuno.

Azeem menerima penajaan Mizuno di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pengarah Pemasaran Serantau Mizuno, Jay Vie Ong (tiga dari kiri) menyerahkan penajaan kepada Azeem.

Azeem dijadual berlepas ke Paris pada 28 Julai ini untuk membuat penampilan sulungnya di Olimpik dalam acara 100m lelaki bermula 3 Ogos ini.

“Sebagai muka baharu, saya hanya kekal fokus dan tenang sebab saya ‘underdog’. Tiada siapa pasang harapan untuk saya tunjukkan prestasi baik dan menang pingat emas.

“Jadi saya hanya (perlu) jadi diri sendiri dan buat terbaik dan berikan segala-galanya. Keputusan yang terbaik akan hadir kalau kita buat terbaik… bukan untuk diri saya sendiri tetapi juga untuk negara,” kata lagi.

Mengulas mengenai latihannya menjelang temasya, Azeem berkata, banyak perkara yang dapat diolah bersama Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard dan barisan kejurulatihan.

Muhammad Azeem Fahmi sudah cukup berpengalaman berlari bersama pelari terpantas dunia.

“Saya rasa sepanjang tempoh dua minggu di Malaysia setakat ini, banyak perkara yang kita dapat olah dan dapat keluarkan daripada mesyuarat dan analisis prestasi, semua sangat membantu.

“Saya tak dapat huraikannya secara terperinci tetapi apa yang boleh saya cakap, ia sangat membantu dan saya berada dalam keadaan bersedia. Jadi, menjelang Olimpik, apa yang berbekal di sini akan di bawa ke sana.

“Kami tidak akan membuat banyak perubahan, hanya fokus kepada apa yang sudah dilakukan selama ini dan menjadikannya lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Azeem memegang rekod kebangsaa 100m lelaki dengan catatan 10.09  saat yang dilakukan pada Kejohanan Dunia bawah 20 tahun di Cali, Colombia pada 2022.