TAN Sri Mohamad Norza Zakaria secara tidak rasmi bakal dilantik sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi zon Asia Tenggara menjelang Perhimpunan Agung di New Delhi, India 8 September depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu hampir pasti untuk menyandang jawatan tersebut selepas menjadi calon tunggal, sekali gus menyaksikan beliau tidak dicabar calon lain.

Norza yang dicalonkan 12 Julai lalu, turut menerima sokongan sebulat suara daripada 10 Ahli Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Asia Tenggara yang lain termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjadi calon tunggal Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi zon Asia Tenggara.

Lebih manis, beliau bakal mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia kedua memegang jawatan tersebut selepas Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menjawatnya pada 1982.

“Saya berasa rendah diri dan berbesar hati untuk dicalonkan sebagai calon tunggal bagi jawatan Naib Presiden OCA untuk zon Asia Tenggara.

“Saya turut berbangga kerana menjadi orang kedua dari Malaysia selepas Tan Sri Hamzah yang dipilih sebagai Naib Presiden OCA selepas hampir empat dekad,” katanya, menerusi satu kenyataan.

Untuk rekod, Perhimpunan Agung OCA akan menjalankan pemilihan untuk lembaga eksekutif bagi penggal 2024-2028, termasuk seorang presiden, lima naib presiden yang mewakili zon, lima ahli dari setiap zon berlainan jantina kepada naib presiden masing-masing serta dua wakil dari jawatankuasa Atlet OCA.

Sementara itu, 15 pengerusi jawatankuasa tetap berkanun akan turut dipilih.