PERLAWANAN Liga Super minggu ini akan menyaksikan kepulangan bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak ke Alor Setar.

Beliau yang kini merupakan pengendali Kuching City FC akan kembali sebagai pihak lawan kepada pasukan Sang Kenari menjelang perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman esok.

Dalam hantaran di Facebook miliknya, dia berasa gembira untuk kembali ke Alor Setar meskipun turun sebagai pasukan pelawat.

Antara pemain Kuching City yang tiba di Alor Setar

“Seronok dapat kembali ke tempat (Alor Setar) dengan banyak kenangan manis,” katanya dalam hantaran itu.

Aidil Sharin Sahak meraikan kemenangan pasukannya, Kedah selepas tamat pelawanan akhir Piala FA 2019

Aidil Sharin mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman FC selama empat musim bermula 2019 sehingga 2022.

Dalam tempoh itu, beliau berjaya membawa pasukan Sang Kenari itu menjuarai Piala FA pada musim 2019.

Sepanjang beliau bersama Kedah, Aidil telah mencatat 55 kemenangan dalam 110 perlawanan yang dikendalikan olehnya, dengan peratus kemenangan sebanyak 50 peratus.