GUGUP beraksi kali pertama di Sukan Olimpik bukan satu kebimbangan untuk jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, malah pemilik rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki itu dijangka mampu mengulangi pencapaian di Cali, Colombia kira-kira dua tahun lalu.
Olimpian olahraga negara, Nazmizan Muhamad yakin pelari berusia 20 tahun itu tidak akan gugup di Stade de France, berikutan pengalamannya bersaing dengan pelari-pelari yang memiliki catatan terpantas dunia sepanjang berada di Amerika Syarikat.
Justeru, beliau yakin Azeem mampu beraksi dengan baik apabila berlari dalam acara saringan 3 Ogos nanti.
“Gugup tu penting kerana ia akan membantu seseorang atlet beraksi dengan baik, tetapi saya yakin Azeem tidak akan berdepan rasa gugup melampau.
“Dia sudah berlari bersama-sama pelari pantas dunia ketika beraksi di NCAA, malah di peringkat Asia juga dia berjaya memenangi pingat gangsa, jadi gugup hingga menjejaskan prestasi itu tidak akan berlaku,” kata Nazmizan, yang pernah beraksi di Olimpik Athens dalam acara 200m.
Olimpian asal Terengganu itu hanya mahu Azeem tampil beraksi di pentas terbaik dunia itu dengan memberi fokus kepada larian saja.
Beliau yakin Azeem mampu mengulangi catatan masa 10.09 saat (s) yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia dua tahun lalu, dan mampu mara hingga ke separuh akhir.
“Fokus kepada larian lihat balik video ketika dia lari dengan catatan 10.09s itu.
“Inilah masanya untuk dia tunjukkan kepada dunia, kewujudan Azeem Fahmi di Olimpik,” ujar Nazmizan lagi.
Begitupun, aspek pemakanan perlu diberi perhatian serius.
Ini kerana berat badan memainkan peranan penting selain perlu lebih berhati-hati memilih makanan ketika berada di Paris.
“Saya rasa Azeem tak ada masalah kerana dia tahu apa yang perlu di buat. Tidak perlu rasa tertekan.
“Insya Allah dia mampu lakukan dan berakhir dengan cemerlang di Olimpik yang mampu menjadi titik permulaan melebarkan kariernya,” katanya.
Azeem akan berlepas ke Paris Ahad ini, ditemani Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard.