JASAD pemain badminton China, Zhang Zhi Jie yang meninggal dunia hampir sebulan lalu masih belum dituntut keluarganya menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Jurucakap PBSI, Broto Happy berkata keluarga Zhang meminta untuk jasadnya itu ditinggalkan sementara di Hospital Sardjito, Yogyakarta untuk kira-kira tujuh hari lagi.

“Jasad Zhang Zhi Jie kini masih di hospital dan saya difahamkan bahawa keluarganya meminta tempoh masa seminggu lagi sebelum menuntut jenazah anak mereka dan kami tidak pasti mengapa keputusan itu dibuat tetapi PBSI akan terus memantau proses penghantaran pulang jasad pemain itu ke China,” jelasnya.

Zhang Zhi Jie rebah di gelanggang dan disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung

Sementara itu, pihak Hospital Sardjito menjelaskan mereka menyimpan jasad pemain itu di dalam bilik sejuk hospital dan menunggu arahan daripada keluarga atau pihak PBSI untuk menguruskan jenazah itu.

Zhang Zhi Jie meninggal dunia pada 1 Julai selepas rebah di gelanggang ketika beraksi di Kejohanan Badminton Junior Berpasukan Asia ketika menentang Kazuma Kawano dari Jepun.

Kelewatan pasukan medik bertindak mendapat kritikan ramai sehingga Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) terpaksa menukar protokol berkaitan situasi kecemasan.