JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi telah mencapai garis dasar kekuatan kelajuan dalam pecutan, pada tahun pertamanya.

Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard berkata, pencapaian itu amat hebat kerana dicapai Azeem pada tahun pertamanya di peringkat senior.

“Mengikut kebiasaan, pencapaian itu hanya akan dibina pada tahun kedua dan ketiga ketika pelari pecut memasuki fasa senior.

Azeem mempamerkan mencapai tahap asas kelajuan lebih awal.

“Ia memerlukan masa tiga tahun untuk melatih kekuatan bagi mencapai manfaat maksimum,” kata Ballard, ketika ditemui.

Ujarnya, pada usia 20 tahun, Azeem telah melepasi satu daripada empat tahun latihan berat, dan sepanjang menjalani latihan ini, dia akan melalui transisi dalam latihan kekuatan.

“Perkara ini sudah saya dan jurulatih Azeem, Ken Harnden bincangkan kerana beliau (Harnden) mahu Azeem fokus kepada  pecutan pada tahun pertama dengan latihan bebanan yang sebenar.

Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard gembira dengan perkembangan Azeem dalam tempoh hampir dua minggu menjalani latihan di MSN.

“Dalam fasa ini, prestasi Azeem boleh mencapaipeningkatan mahupun penurunan mengikut perubahan fizikal badan kerana ia akan memberi kesan kepada perubahan konfigurasi jisim otot,” katanya.

Beliau berkata, input berguna berjaya diperoleh daripada analisa yang dilakukan bersama pasukan Institut Sukan Negara (ISN) dan beliau akan membawanya ke Paris untuk ditunjukkan kepada Harnden yang berada di Kota Fesyen itu, bagi membantu prestasi Azeem di saat akhir menjelang perlumbaan saingan 100 meter (m), yang dijadualkan pada 3 Ogos ini.

Azeem boleh mencapai kelajuan seperti di Cali, Colombia, pada Sukan Olimpik Paris nanti. 

Untuk rekod, Azeem mencipta rekod kebangsaan di Kejohanan Dunia bawah 20 tahun di Cali, Colombia pada 2022 dengan catata 10.09 saat (s).

Pelari muda negara itu turut menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen Sukan Asia Hangzhou, dengan catatan 10.11s.