PEMANAH wanita negara, Syaqiera Mashayikh memulakan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan nada positif apabila mengakhiri saingan penentuan ranking individu di kedudukan ke-14 daripada 64 peserta.
Pemanah yang membuat penampilan kedua di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 tampak lebih bersemangat, apabila berjaya mencipta catatan peribadi baharu dengan 663 mata di Invalides.
Pencapaiannya itu membolehkan Syaqiera berdepan pemanah dari Moldova, Alexandra Mirca di saringan 1/32 yang dijadual berlangsung Selasa ini.
Dua pemanah dari Korea Selatan, Lim Sihyeon dan Nam Suhyeon mengungguli saingan apabila masing-masing berada di ranking pertama dan kedua dengan catatan 694 dan 688 mata.
Sihyeon turut mencipta rekod dunia baharu, sekali gus memadam rekod 692 mata yang dilakukan rakan senegaranya, Kang Chaeyoung yang dilakukan pada 2019.
Dalam pada itu, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi menamatkan saingan di tempat ke-50 dengan 633 mata manakala Nurul Azreena Mohamad Fazil mengumpul 622 mata untuk berada di ranking ke-60.
Ariana dijadual bertemu pemanah dari Itali, Chiara Rebagliati pada saringan 1/32 pada Khamis ini manakala Nurul Azreena bertemu Elif Berra Gokkir dari Turkiye.
Bagi acara berpasukan, trio menamatkan saingan ranking di kedudukan ke-10 daripada 12 negara dengan mengumpul 1,918 mata dan dijadual bertemu Indonesia pada aksi saringan 1/8 pada Ahad ini.
Jika berjaya melepasi Indonesia, trio negara itu akan berdepan pilihan kedua dari China yang menanti di pusingan berikutnya.
Trio negara itu pernah berdepan China pada kelayakan Olimpik di Antalya, Turkiye, Jun lalu yang menyaksikan wakli negara tewas di final menerusi penentuan shoot off.
Korea Selatan berada di ranking pertama dengan 2,046 sekali gus memperbaharui rekod mereka 2,032 mata di Tokyo 2020 manakala China di kedudukan kedua, 1996 mata.