PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee gembira dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya selepas kembali mencatatkan kemenangan dengan menewaskan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis.
Kim Swee yang ditemui selepas perlawanan itu menganggap ianya satu kepuasan dapat mengutip tiga mata penuh di laman sendiri terutama selepas mereka tewas kepada Johor Darul Ta’zim dan tersingkir dari saingan Piala FA kepada Terengganu FC.
Meskipun mencipta kemenangan, bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu mahu para pemainnya terus meningkatkan lagi prestasi sedia ada bagi menghadapi dua aksi di tempat lawan selepas ini.
“Ianya satu keputusan yang cukup baik apabila berjaya bangkit dari kekalahan sebelum ini. Meskipun mendapat tiga mata tetapi kami perlu tingkatkan lagi prestasi untuk menempuh dua perlawanan seterusnya menentang KL dan Sri Pahang di tempat lawan.
“Pemain-pemain muda akan sentiasa diberikan peluang tetapi mereka perlu berikan penyudah yang baik dengan membantu pasukan untuk menjaringkan gol dan boleh bermain sebagai satu unit,” katanya.
Kemenangan itu melonjakkan Sabah ke tangga kedua liga namun Kim Swee enggan terbuai dengan kedudukan itu kerana dia sedar perjalanan liga masih panjang dengan fokus perlu diberikan pada setiap perlawanan untuk meraih keputusan positif.
“Iya kami kini di tangga kedua liga tetapi masih terlalu awal dan kita mempunyai banyak lagi perlawanan dengan fokus diberikan dari satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum kita dapat melihat kedudukan sebenar pasukan ini,” jelasnya.
Dua gol hasil jaringan Daniel Ting dan Jafri Firdaus Chew memberikan tiga mata buat Skuad Badak dihadapan lebih 3,000 penyokong di Likas dan kini fokus akan kembali terarah pada aksi seterusnya bertemu Kuala Lumpur City FC di Cheras pada 31 Julai.