MESYUARAT Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd yang diadakan pada Khamis lepas mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah dengan sepakat akan menyelesaikan segala kekeliruan dan salah faham yang timbul.

Sehubungan dengan itu, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara bersetuju bergerak ke hadapan dengan kenyataan media hanya akan dikeluarkan setelah mengambil kira keputusan kolektif yang telah diputuskan bersama.

Kini, proses pembayaran gaji sedang giat dilaksanakan serta pembayaran kepada badan berkanun. Ahli Lembaga Pengarah sentiasa bersatu padu untuk maju ke hadapan dan akan berdiri teguh di belakang kelab bagi memastikan Kuala Lumpur City FC meneruskan permulaan yang cemerlang musim ini, mengatasi segala kemungkinan dan terus menghasilkan keputusan yang baik.

Kuala Lumpur City FC adalah kelab yang mampu menangani cabaran dan rintangan serta situasi yang sukar dengan berkesan. Ini menunjukkan bahawa kemampuan kelab untuk mengatasi halangan dan mencapai kejayaan cemerlang kerana kesatuan dalaman yang kukuh serta semangat berpasukan.

Tiga penampilan di perlawanan akhir melalui tiga pertandingan yang berbeza dalam tempoh tiga musim terakhir ini telah membuktikan bahawa Kuala Lumpur City FC berada di landasan yang betul dalam membina pasukan yang baik dan mampu memberi saingan.

Pendekatan secara bersatu padu merupakan komitmen Ahli Lembaga Pengarah terhadap keseragaman dalam setiap komunikasi yang dilakukan.

Dalam kesempatan ini, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat dan penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang kelab dan memberi sokongan dalam waktu yang mencabar ini.

Kami amat berharap agar “City Boys” dan “City Girls” akan hadir beramai-ramai di dua perlawanan di halaman sendiri menentang Sri Pahang pada Sabtu, 27 Julai 2024 dan Sabah pada Rabu, 31 Julai 2024