JIKA dihitung mengenai prestasi semasa Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC, sudah pastinya pertembungan kedua-dua pasukan itu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam ini sebagai buku bertemu ruas.

Kedua-duanya masih kekal dengan rekod tanpa kalah cuma beza, JDT kekal dipuncak dengan rekod bersih lima kemenangan manakala Terengganu yang kurang satu perlawanan menduduki tangga keempat dengan lapan mata.

JDT diprestasi terbaik dengan aksi terakhir pada separuh akhir pertama Piala FA menyaksikan mereka menang 2-1 dengan Kedah Darul Aman FC manakala Terengganu tidak kurang hebatnya apabila menundukkan Selangor FC 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama itu.

Akinade akan memimpin barisan hadapan TFC

Bagaimanapun bagi Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner beliau sedar dengan cabaran yang bakal ditempuhi anak buahnya lebih-lebih lagi kehilangan tiga tonggak iaitu kapten Safawi Rasid dan Akhyar Rasid kerana kontrak selaku pemain pinjaman JDT manakala Safwan Mazlan mengalami hamstring.

“Jika kami boleh terus kekal dengan rekod tanpa kalah selepas perlawanan malam ini sudah pasti saya berpuas hati. Kami berusaha melakukan persiapan yang terbaik tanpa Safawi, Akhyar dan Safwan ini akan beri peluang untuk pemain lain tunjukkan kualiti mereka,” katanya.

Menurut pengendali kelahiran Croatia itu, untuk berdepan JDT, semua pemain perlu berada di kelas terbaik khususnya benteng pertahanan yang bakal mencorak hala tuju perlawanan itu nanti.

“Pemain pertahanan perlu beraksi di tahap terbaik, jika kami dapat menguasai bola kami boleh mencipta peluang. Jika pasukan lawan menguasai sepenuhnya permainan dan kerap memberi tekanan sudah pasti ia akan menyukarkan kami.

“Pemain perlu menguasai bola dengan kreatif, berjuang dan kami juga mengharapkan sedikit ‘luck’ dalam perlawanan nanti,” kata Steinbruckner.