BEBERAPA  jam sebelum majlis pembukaan Olimpik Paris awal pagi nanti, perkhidmatan kereta api nasional Perancis menyatakan ia disasarkan oleh beberapa “tindakan jahat” yang menyebabkan gangguan kepada laluan kereta api laju mereka.

“Kebakaran disengajakan untuk merosakkan kemudahan kami,” kata SNCF dalam satu hantaran di X.

Kebakaran tersebut disebabkan oleh kotak isyarat dan tiang elektrik yang dirosakkan di beberapa lokasi luar bandar di luar Paris. Walau bagaimanapun, ia memberi kesan kepada perkhidmatan di beberapa stesen kereta api utama di ibu kota itu.

Kejadian ini berlaku ketika pegawai keselamatan Perancis dan antarabangsa melancarkan operasi keselamatan yang meluas untuk Olimpik, yang melibatkan puluhan ribu polis dan anggota tentera tambahan di jalanan.

Perkhidmatan kereta api itu berkata sehingga 800,000 penumpang terjejas oleh “serangan besar-besaran” itu dan mereka meminta penumpang untuk menangguhkan perjalanan. SNCF berkata insiden tersebut bertujuan untuk “melumpuhkan rangkaian.”

SNCF berkata, beberapa kabel atas telah dipotong dan ia satu tindakan “sabotaj.” Pejabat pendakwa Paris telah membuka siasatan jenayah.

Salah satu laluan yang terjejas adalah antara Lille dan Paris, sebuah bandar di utara Perancis di mana perlawanan awal bola keranjang lelaki dan wanita serta perlawanan peringkat kalah mati bola baling sedang dimainkan.

Pihak berkuasa Perancis melakukan siasatan ke tempat kejadian.

Terdapat juga gangguan kepada kereta api Eurostar yang bergerak antara London dan Paris. Laluan kereta api antarabangsa lain ke Perancis dari Jerman juga mengalami kelewatan.

Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS berkata, tiada atlet Amerika yang terjejas oleh gangguan kereta api kerana mereka kebanyakannya menggunakan bas. SNCF berkata kelewatan boleh berlarutan sepanjang hujung minggu.

Pegawai keselamatan Perancis dan antarabangsa berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi terhadap sebarang gangguan kepada Olimpik. Buat pertama kali dalam sejarah Sukan Olimpik, majlis pembukaan akan diadakan di luar, di sepanjang sungai Seine awal pagi Sabtu.

Ibu kota Perancis berada dalam keadaan hampir terkurung sepenuhnya menjelang majlis tersebut dan pengumpulan maklumat mengenai plot ekstremis dan serangan siber telah dipertingkatkan.

Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal memberi amaran kepada mereka yang bertanggungjawab bahawa akan berdepan hukuman penjara yang panjang dan denda yang besar.

Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach berkata beliau tidak mempunyai sebarang kebimbangan dan mempunyai “keyakinan penuh terhadap pihak berkuasa Perancis.”