KEDAH Darul Aman (KDA) FC dijadualkan akan berdepan satu lagi kelab Indonesia, PSM Makassar dalam separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 di Stadum Patriot Candrabaga, Bekasi pada 9 Ogos depan.

KDA FC menjadi juara Kumpulan G Piala AFC 2022 yang juga dihuni Bali United, Kaya Iloilo FC (Filipina) dan Visakha FC (Kemboja).

Pengendali asal Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, melihat kekuatan Kedah FC dan PSM Makassar adalah seimbang.

“Secara umum, kekuatan kedua pasukan dilihat setara. Yang menarik, PSM dan Kedah kerap tampil dengan permainan high pressing,” jelasnya ketika dihubungi.

Menurut bekas jurulatih UiTM ini, selain keupayaan Bernardo Tavares, kejayaan PSM hadir menerusi sumbangan tiga pemain import, Wiljan Pluim (pemain tengah/Belanda), Yuran Fernandes (stoper/Portugal) dan Evertom Nascimento (penyerang/Brazil).

“Saya yakin penampilan PSM semakin baik. Apatah lagi ketika itu, PSM sudah berada dalam suasana pertandingan dan dapat menurunkan satu lagi awang import, Kenzo Nambu,” ujar Raja Isa lagi.

Raja Isa juga memberikan penilaiannya terhadap penampilan Sang Kenari di Stadium Kapten I Wayan Dipta.

Pada matanya, seperti PSM, prestasi baik pemain Aidil Sharin Sahak juga dibantu oleh peranan empat pemain importnya iaitu Marc Vales (stoper/Andorra), Dechi Marcel (pemain tengah/Ivory Coast), Mahmoud Al-Mardi (penyerang kedua/Jordan) dan Ronald Ngah (penyerang/Cameroon).

Secara khusus, Raja Isa menumpukan aksi Mahmoud Al-Mardi yang mencetak empat dalam sembilan gol Kedah dalam Kumpulan G. Tiga di antaranya terhasil pada pertemuan menentang Kaya Iloilo.

Mahmoud sendiri baru bergabung pada awal pusingan kedua Liga Super Malaysia. Kehadiran pemain tengah yang memimpin Al-Muharraq (Bahrain) meraih trofi juara Piala AFC 2021 ini cukup menghadirkan impak sensasi pada penampilan bersama Kedah.

Raja Isa juga menyebut nama pemain tempatan negara, Fayadh Zulkifli yang berposisi sebagai penyerang sayap.

Kecepatan serta umpanan silang pemain dengan ketinggian hanya 160 cm mampu memecah benteng pemain belakang lawan.