BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah melakukan pemulihan diri menerusi rawatan kiropraktik semalam.

Mereka menerima rawatan kiropraktik di Malaysia House, Paris beberapa jam sebelum Majlis Pembukaan Rasmi dijalankan.

Perkhidmatan sokongan ini telah disediakan oleh  Sekretariat Road To Gold bagi membantu pemulihan atlet negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pearly Tan menerima rawatan kiropraktik di Malaysia House. (Sumber Gambar: MSN)

Perkhidmatan sokongan ini juga sedikit sebanyak mampu untuk menampung kakitangan perkhidmatan sokongan yang terhad di dalam perkampungan sukan.

Selain rawatan kiropraktik, perkhidmatan lain yang disediakan di Malaysia House termasuk tukang urut, fisioterapi, psikologi dan pakar pemakanan, dengan kesemuanya memainkan peranan penting dalam proses pemulihan atlet.

Rawatan pemulihan yang diberikan kepada beregu wanita negara itu dilihat sebagai satu perkara yang positif untuk membantu dalam persediaan mereka untuk acara badminton di Paris ini.

Cabaran Pearly Tan-M.Thinaah akan bermula pada 4.10 petang ini dengan bertemu dengan pilihan utama dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan yang juga merupakan pemain beregu wanita No 1 dunia dalam kumpulan A.

Kedua-dua pasangan beregu ini telah bertemu sebanyak dua kali pada tahun ini, dengan kedua-dua pasangan telah menang sekali terhadap satu sama lain.

Dua lagi beregu wanita yang berada dalam satu kumpulan ialah beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti.