PEMAIN legenda bola sepak Brazil, Zico dilaporkan kehilangan beg tangan bernilai RM2.5 juta.
Antara barangan yang terkandung dalam beg tangan itu ialah jam tangan Rolex dan berlian yang dicuri di Paris menurut laporan tempatan semalam.
Le Parisien melaporkan bahawa kecurian itu berlaku di dalam sebuah teksi. Seorang individu didakwa mengalih perhatian pemandu teksi sementara seorang suspek lain mencuri beg tangan Zico.
Arthur Antunes Coimbra yang lebih dikenali sebagai Zico, 71, berada di Paris atas jemputan delegasi Brazil untuk menyaksikan Sukan Olimpik 2024 yang secara rasminya bermula dengan upacara pembukaan pada awal pagi tadi.
Seorang daripada pemain bola sepak terkemuka generasinya, Zico mewakili Brazil dalam tiga Piala Dunia (1978, 1982, dan 1986) tetapi tidak pernah memenanginya.
Awal minggu ini, pasukan bola sepak kebangsaan Argentina juga menjadi sasaran pencuri sebelum perlawanan mereka di Sukan Olimpik Paris.
“Semalam (Selasa), pencuri memasuki tempat latihan kami dan kami telah dirompak. Thiago Almada kehilangan barang-barangnya, jam tangan dan perhiasan,” kata jurulatih Argentina, Javier Mascherano.
BFMTV Perancis melaporkan pada Khamis bahawa barang-barang Almada yang dicuri bernilai RM252,809. -Agensi