JAGUH pecut negara yang akan membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik Paris 2024, akan menggunakan kit perlumbaan berteknologi tinggi dan terkini dari Mizuno.

Pengurus (Negara) Mizuno Malaysia, Darren Wong berkata, Azeem akan menggunakan kit perlumbaan sebagaimana pelari pecut terbaik dunia yang bernaung di bawah Mizuno, pada temasya itu nanti.

Muhammad Azeem Fahmi memperaga kit perlumbaan jenama Mizuno yang akan dipakai pada perlumbaan 100m lelaki di Stade de France.

“Kit perlumbaan yang kita berikan kepada Azeem ini sama dengan kit yang akan diguna oleh pelari yang mempunyai komitmen dengan Mizuno di pentas antarabangsa, termasuk palari Jepun yang akan beraksi di Olimpik nanti.

“Kita percaya bahawa kit yang menggunakan teknologi terkini dan paling ringan akan dapat membantu melonjakkan prestasi pecutan Azeem,” kata Darren, mengulas mengenai kit perlumbaan yang diserahkan Azeem untuk digunakan pada larian 100 meter (m) 3 Ogos ini.

Muhammad Azeem Fahmi berbincang dengan Pengarah Pemasaran Serantau Mizuno, Jay Vie Ong.

Selain mahu membantu Azeem mencapai prestasi terbaik di Stade de France, beliau berkata, Mizuno berbangga apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bersetuju dengan kerjasama untuk Mizuno menjadi penaja kepada Azeem di Olimpik.

“Kami yakin, peluang menaja Azeem dapat membantunya dan juga pihak kami yang mahu mengangkat semula jenama Mizuno di Malaysia selepas empat tahun tidak berada di negara ini,” katanya.

Menurutnya, Mizuno kembali ke Malaysia sebagai subsidiari langsung dari Jepun: “Kali ini kami juga mahu membantnu atlet selain Azeem, sama ada pelapis kebangsaan mahupun terus di bawah KOM.”