SATU demi satu kisah berkaitan temasya Olimpik Paris 2024 terus terbongkar, tidak kira sama ada daripada sudut atlet mahupun sudut lain yang telah tercetus sejak beberapa hari lalu.
Disusuli dengan isu baru-baru ini, tular mengenai kegiatan ‘tidak senonoh’ penyelam dari Britain, Jack Laugher, Tom Daley, Noah Williams dan rakan sepasukan lain yang telah menjual foto lucah di ‘OnlyFans’.
Tidak dinafikan, penyelam tidak mungkin berpakaian seperti pemain snooker. Tetapi adakah masuk akal untuk wakil pasukan Britain itu berfoto separuh bogel dengan tangannya di dalam seluar?
Menarik lagi, ia dimuat naik ke laman OnlyFans untuk langganan sebanyak £7.75 sebulan. Jadi pada era pornografi yang mudah diakses oleh remaja dan kanak-kanak, adakah ini contoh terbaik yang boleh diberikan? Jelas sekali tidak.
Alasan yang diberikan oleh atlet, mereka tidak mempunyai banyak wang selain daripada nama yang popular dan memenangi pingat emas. Persatuan Olimpik Britain tidak seharusnya menutup mata terhadap perkara ini dan sepatutnya menuntut agar suatu tahap kesopanan dipatuhi.
Adakah itu perkara haram dan dilarang? Tidak, tetapi itu tidak menghalang keperluan untuk mematuhi cara berkelakuan lebih sopan dan menunjukkan sikap yang perlu dicontohi sebagai seorang atlet.