TEWAS, namun ada petanda positif daripada beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk menghadapi baki perlawanan dalam saingan kumpulan ‘maut’.

Berada dalam kumpulan A bersama gandingan nombor 1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jhia Yi Fan, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (Jepun) dan pemenang emas Olimpik Tokyo, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia), hanya persembahan terpuji mampu menyalakan harapan buat gandingan ke-14 dunia itu.

Dan mereka hampir melakukannya ketika tewas kepda Qing Chen-Yi Fan sebentar tadi.

Biarpun kehilangan mata berharga, kekalahan 17-21, 20-22 membuktikan tahap prestasi Pearly-Thinaah juga setanding dan mereka hanya perlu bangkit pada perlawanan kedua dan terakhir kumpulan A.

Pearly Tan-M Thinaah perlu meneruskan permainan mantap sebagaimana ketika menentang Chen Qing Chen-Jhia Yi Fan.

“Ya tewas tetapi ada yang positif kerana kami saling menyokong, setiap mata, setiap set kami kekal bersama.

“Meskipun kalah, keputusan ini tetap menaikkan semangat dan keyakinan kami untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” kata Thinaah, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus selepas tamat perlawanan di Porte de la Chapelle Arena.

Thinaah enggan menganggap kekalahan itu sebagai sudah dijangka berikutan dia dan Pearly diundi dalam kumpulan yang sukar, sebaliknya berkata: “Dalam kejohanan sebegini, semua keputusan boleh berlaku dan kami hanya mahu fokus kepada diri sendiri dan memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan.”

Sementara itu, Pearly menganggap setiap perlawanan memerlukan corak permainan berbeza.

“Cara kami saling menyokong… cara kami menggunakan strategi perlawanan berbeza mengikut lawan berbeza tetapi dalam kekalahan hari ini, ada rali yang baik.

“Kami akan menjadikan perlawanan hari ini sebagai pelajaran berguna,” tambah Pearly.

Esok, pasangan negara ini akan turun menentang wakil Jepun, Matsumoto-Nagahara dan berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah mendahului 3-2 namun pemain lawan memenangi pertemuan terakhir di Kejohanan Badminton Asia, April lalu.