BERGELUT mendapatkan rentak di awal saingan, hampir mengundang padah buat harapan emas negara, Aaron Chia Soh Wooi Yik, namun mereka berjaya mengatasinya dan menterjemahkan keptusan perlawanan kepada kemenangan yang amat dinanti-nantikan peminat di seluruh tanah air.

Perkara itu diakui Wooi Yik, yang berasakan perlawanan pertama itu amat sukar buat mereka, biarpun memiliki rekod pertemuan yang baik 4-1 ke atas lawan.

“Keputusan sebegini agak normal tetapi saya akui, kami bergelut, pada set pertama kami cuba untuk melawan dan memenanginya tetapi tidak berjaya.

“Masuk ke set kedua, kami saling berpesan untuk tidak mudah menyerahkan mata dan dari situ keyakinan kami meningkat,” kata Wooi Yik, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya atasi halangan pertama di Paris.

Pada perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik tunduk 19-21 di set pertama kepada gandingan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy dalam aksi kumpulan A, sebelum bangkit pada dua set berikutnya dan memenangi perlawanan dengan keputusan 21-16, 21-11.

Dalam pada itu, Aaron mengakui perlawanan pertama yang sukar itu, memberi kebaikan untuk mereka mempersiapkan diri menjelang perlawanan seterusnya.

“Perlawanan kali ini amat berbeza dengan pengalaman pertama kami di Tokyo.. dahulu tiada penonton tapi di sini amat ramai dan memberi impak perasaan bercampur baur, sekejap naik dan turun.

“Tetapi kami sangat gembira kerana berjaya memenangi perlawanan pertama,” tambah Aaron.

Esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura sebelum membuat perhitungan dengan pilihan utama dari China, Liang Wwei Keng-Wang Chang pada Isnin.