PERENANG negara, Khiew Hoe Yean gagal untuk mencipta rekod kebangsaan yang baharu dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.
Hoe Yean yang juga membuat penampilan sulung di Olimpik, menamatkan saingan di tempat keempat daripada lapan pelumba selepas mencatat tiga minit 51.66 saat (s) dalam acara saringan yang berlangsung di Arena Paris La Defense.
Catatan Hoe Yean di Olimpik itu meletakkan dirinya berada di kedudukan ke-27 daripada 37 perenang yang bertanding dalam acara berkenaan.
Catatan masa yang dilakukannya itu juga tidak mampu untuk memecah rekod kebangsaan yang dilakukan oleh beliau di Kejohanan Australia, April lalu, dengan catatan masa ketika itu ialah 3:48.36s.
Menurut jurulatih renang kebangsaan, Eric Anderson dalam pada itu berkata, Hoe Yean memulakan saingan dengan baik namun tidak berupaya meneruskan momentum.
“Saingan yang sengit. Dia beraksi dengan baik pada 200m awal tetapi tidak mampu mengekalkan kelajuan di penghujung,” kata Anderson.
Perenang Jerman, Lukas Maertens mengungguli carta kelayakan dengan 3:44.13s manakala wakil Brazil, Guilherme Costa kedua dengan catatan 3:44.23s manakala perenang China, Fei Liwei berada di kedudukan ketiga dengan catatan 3:44.60s.