BAYAR gaji… bayar gaji… laungan dialunkan Elephant Army sejurus tamat perlawanan Sri Pahang menentang Kuala Lumpur City menghiasi ruang udara Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Situasi itu sudah cukup untuk menggambarkan situasi yang didepani pemain serta pasukan Tok Gajah, namun ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad enggan mengiyakan sebarang spekulasi termasuk isu tunggakan gaji, sebaliknya menekankan bahawa Sri Pahang kini ketiadaan penyerang yang ‘bernafsu’ untuk menjaringkan gol.
Malah ketika ditanya mengenai faktor yang mengganggu mental pemain hingga menjejaskan corak permainan, Fandi hanya menjawab: “Hari ini kita sedang membuat pembetulan dalam diri pemain, dari segi pemikiran kita mahu mereka melupakan perkara-perkara lain yang mengganggu kerana kita harus berusaha.
“Ini adalah kerjaya kita, kalau kita risaukan masalah lain akan datang mereka (pemain) juga akan susah.
“Kadang-kadang memang susah untuk saya memotivasikan pemain.”
Justeru, beliau mengakui Tok Gajah memerlukan tenaga baharu terutamanya penyerang yang mempunyai naluri menjaringkan gol yang lebih kuat, beliau enggan menyatakan hasrat untuk mendapatkan pemain baharu pada tingkap perpindahan akan datang iaitu pada 26 Ogos hingga 22 September.
“Tak tahu… sementara ini saya tidak boleh cakap apa-apa.”
Keputusan seri 0-0 itu bagaimanapun melegakan pengendali berasal dari Singapura itu.
“Kita memang menjangkakan situasi ini kerana tidak memiliki playmaker, kita simpan banyak pemain, melakukan empat hingga lima perubahan di bahagian tengah, sayap dan penjaga gol.
“kita mahu semnua dapat peluang bermain dan saya janjikan setiap pemain akan dapat beraksi sekiranya mereka berjanji menampilknan kesungguhan,” kata Fandi.
Sebelum seri dengan KL City, Skuad Tok Gajah tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan dan 0-3 kepada JDT dalam aksi Liga Super.