DALAM kerancakan Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung, polis Perancis menutup sementara kawasan sekitar pusat media, selepas menerima ancaman bom.

Pusat media bertindak melayani wartawan yang membuat liputan acara sukan antarabangsa itu, menghentikan operasi selepas pihak berkuasa menegaskan bahawa mereka terpaksa mengambil langkah itu kerana “risiko letupan”.

Wartawan dan yang lain terpaksa dipindahkan manakala polis Perancis enggan mendedahkan punca risiko itu, lapor TRT World.

Pihak berkuasa akhirnya membuka semula kawasan itu kepada lalu lintas pejalan kaki dan akses masuk serta keluar dari pusat media, kini beroperasi normal.

Ini bukan kali pertama polis Perancis dikejutkan dengan ‘ancaman bom’.

Awal minggu ini, EuroAirport, di sempadan Perancis-Jerman-Switzerland telah dipindahkan dan beberapa penerbangan digantung kerana isu yang sama.

Lapangan terbang yang terletak berhampiran Basel (Switzerland), Mulhouse (Perancis), dan Freiburg (Jerman) itu diletak dalam perintah berjaga-jaga dan diperhatikan sepanjang Sukan Olimpik Paris berlangsung.

Ancaman bom di pusat media itu berlaku hanya beberapa hari selepas laluan kereta api berkelajuan tinggi Perancis, disasarkan pelbagai tindakan “berniat jahat” termasuk pembakaran.

Insiden itu digambarkan sebagai “serangan ke atas Perancis” dan “sabotaj yang diselaraskan” untuk mengganggu perjalanan menjelang upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris.

-Agensi