PASANGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hampir pasti menempah tempat ke suku akhir Sukan Olimpik Paris.

Kedua-duanya memperolehi kemenangan 21-10, 21-15 ke atas pemain Kanada Adam Dong-Nyl Yakura dalam perlawanan kedua Kumpulan A.

Sehari selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain England, Ben Lane dan Sean Vendy dalam perlawanan pembukaan mereka semalam (Sabtu), Aaron-Wooi Yik meraih kemenangan yang jauh lebih selesa di Arena Adidas di Port de la Chapelle hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Tokyo 2020 seterusnya akan menentang pemain beregu lelaki No. 1 dunia dari China, Liang Weikeng-Wang Chang dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka pada esok.

Kemenangan ke atas Weikeng-Wang Chang akan memastikan Aaron-Wooi Yik menduduki tempat teratas kumpulan mereka dan mengelak pemenang kumpulan lain dalam pusingan lapan terakhir.