KALI pertama turun ke gelanggang Sukan Olimpik Paris, perseorangan lelaki harapan emas negara, Lee Zii Jia gembira kerana dapat rasakan aura positif di Porte de La Chapelle Arena.
Dia yang kali pertama tampil di pentas tertinggi temasya sukan itu pada Tokyo 2020, berasa moodnya lebih baik di Paris, selepas venue bagi sukan badminton itu dipenuhi penonton setiap hari.
“Perbezaan utama antara Tokyo dan Paris adalah penonton. Saya dapat rasakan aura dan suasana yang positif di sini (Paris).
“Setakat ini, setiap hari stadium dipenuhi penonton dan ia petanda yang baik untuk sukan badminton. Tapi ada masanya sorakan penonton sangat kuat dan membuatkan saya tidak dapat mendengar apa yang pengadil katakan. Ia sangat berbeza daripada apa yang saya lalui sebelum ini,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi pertama dalam kumpulan G.
Zii Jia yang tersingkir di pusingan 16 terakhir pada edisi di Tokyo enggan terlalu menekan dirinya dengan keterujaan memburu pingat emas, mencatat kemenangan pertama di Paris apabila tidak berdepan masalah menundukkan pemain Sri Lanka, Viren Nettasinghe 21-14, 21-12.
“Saya gembira dapat memenangi perlawanan pertama di Olimpik Paris. Ini satu permulaan yang baik dan saya harap permainan saya akan bertambah selepas ini.
“Saya tahu semua orang mahu menaiki podium di Olimpik, jadi sekarang saya hanya cuba untuk kekal tenang dan tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri,” katanya.
Ini adalah penampilan kedua Zii Jia di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 yang diadakan dengan protokol ketat susulan pandemik COVID-19.
Pemain nombor 7 dunia itu, dijadual bertemu pemain berpengalaman Sepanyol, Pablo Abian, Rabu ini yang dijangka menjadi penentu gelaran juara dan naib juara kumpulan.