ORANG kenamaan Arab Saudi pada hari Ahad memuji persembahan Mashael Alayed, perenang wanita pertama dari negara itu untuk bertanding dalam Sukan Olimpik.

Perenang berusia 17 tahun itu merupakan satu-satunya perenang wanita dalam kontinjen itu dan mempamerkan aksi terbaik peribadinya untuk menduduki tempat keenam daripada tujuh dalam saringan 200 meter gaya bebas.

Atlet wanita selama bertahun-tahun merupakan simpanan bakat yang belum diterokai di negara Islam konservatif itu, dengan gadis dilarang menyertai sukan di sekolah awam sehingga 2017 dan wanita tidak dibenarkan masuk ke stadium sukan sehingga tahun berikutnya.

Puteri Reema binti Bandar binti Sultan, ahli berpengaruh dalam jawatankuasa Olimpik Saudi dan duta kerajaan ke Washington, yang telah mengetuai usaha untuk mengintegrasikan wanita Saudi ke dalam sukan, menulis di X “Bangga untuk bersorak dengan wanita muda ini! Melanggar sempadan! Mashael Alayed .”

Mashael Alayed berada di kedudukan ke-6 daripada 7 perenang. (Sumber Gambar: Reuters)

Walaupun dia tidak mara ke separuh akhir dengan renangannya, dia mencatat masa dua minit 19.61 saat di Kompleks Akuatik di Arena La Défense Paris untuk menewaskan masa terbaiknya sebelum ini iaitu 2:21.04 saat.

Masanya, dalam kejuaraan utama keempat sejak memasuki program pembangunan elit di negaranya, adalah 23.82 saat di belakang perenang terpantas, Mollie O’Callaghan dari Australia.

Presiden Persekutuan Renang Arab Saudi, Ahmed Alqadamani memberitahu Reuters penyertaan Alayed adalah “petunjuk potensi dan cita-cita sukan Saudi berkat sokongan besar atlet muda untuk mewakili negara mereka dengan cara terbaik”.

“Saya melihat Mashael hari ini (semalam) berbeza dengan Mashael semalam (kelmarin), di mana penyertaan dalam Sukan Olimpik, hubungan dengan perenang terbaik dari pelbagai negara di dunia, sangat menyumbang kepada pemurnian dan pembangunan bakatnya,” katanya.

“Mungkin yang paling penting, penyertaannya akan memberi inspirasi kepada generasi masa depan atlet wanita pada masa hadapan.”

Putera Abdulaziz bin Turki bin Faisal, menteri sukan, pengerusi Jawatankuasa Olimpik Saudi dan ketua delegasi kerajaan di Paris berkata pada X: “Mashael Alayed mempunyai masa depan yang hebat, selamat maju jaya.”

Alayed, yang mewakili kelab Ettifaq, memenangi pingat emas dan dua perak dalam temasya Teluk pertama di UAE pada April 2024. Dia juga memenangi tiga gangsa dan satu pingat perak di Sukan Arab Saudi.