“BUAT yang terbaik dan jangan cepat mengalah”.

Itu merupakan pesanan ringkas yang membawa maksud penting oleh pengendali Kelantan Darul Naim (KDN) FC II, Khairan Eroza Razali kepada barisan pemainnya yang akan turun aksi ketujuh Piala MFL 2024/25 menentang Negeri Sembilan FC, petang Isnin.

Kata Khairan, pemain KDN FC II harus bersedia sepenuhnya dan menunjukkan kemampuan sebenar mereka seandainya tidak mahu pulang dengan kecewa ke Kota Bharu.

“Kita kena realistik. Kita ada perlawanan penting hari ini, pemain tidak boleh selesa kerana cabaran besar menanti di Stadium Mini Tampin.

“Mereka (pemain) kena ingat, Negeri Sembilan pasukan yang mantap dari banyak segi dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri. Maka, kena buat sehabis baik, jangan tertekan dan cepat mengalah.

KDN FC II cemerlang dalam aksi-aksi Piala MFL sebelum ini.

“Saya yakin, jika pemain tunjuk kemampuan, tiada sebab untuk pulang tangan kosong ke Kota Bharu,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menyentuh berkenaan keadaan terkini anak buahnya, Khairan gembira kerana para pemain sentiasa bermotivasi selain mempamerkan keyakinan yang tinggi untuk turun berjuang.

“Saya gembira. Pemain sangat bermotivasi serta berkeyakinan. Ini petunjuk pemain berada dalam kondisi cemerlang. Apa pun, ini adalah bola sepak. Pasukan lawan juga mahu menang.

“Tidak salah yakin tapi jangan terlalu memandang rendah dan melihat Negeri Sembilan dengan sebelah mata,” tambahnya.