TERENGGANU FC dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk mewujudkan satu zon khas buat penonton wanita dan dan berkeluarga.

Menurut kedua-dua pihak tersebut, mereka telah memperhalusi perkara ini selepas timbul isu dimana berlakunya percampuran penonton antara lelaki dan perempuan ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala FA baru-baru ini.

Untuk mengelak perkara berbangkit itu kembali berulang, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu akan memperkenalkan satu kawasan khas bagi penyokong wanita dan yang berkeluarga.

Pengerusi Belia, Sukan & NGO negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim

“Ia akan dimulakan ketika perlawanan Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC pada 30 Julai ini. Secara kebetulan, pihak TFC juga akan menganjurkan Matchday x Family Day pada tarikh tersebut.

“Pintu khas akan diperkenalkan oleh pihak pengurusan stadium. Maklumat ini akan dihebahkan oleh pihak stadium dan TFC dalam tempoh terdekat.

“Oleh kerana sifat stadium ini terbuka, pihak penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki dari mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk.

Kedatangan penyokong Terengganu ke stadium menyemarakkan lagi semangat pasukan Penyu

 

“Walaupun begitu, usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan,” kata Pengerusi Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau juga berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak di negeri itu.