PASUKAN Bukit Tambun FC mendapat suntikan semangat dan kewangan untuk beraksi di Liga A1 Semi-Pro apabila kini mempunyai pemilik baharu dan akan dikenali sebagai Brotherkita Bukit Tambun FC.

Kelab berpangkalan di Pulau Pinang itu kini diambil alih sepenuhnya oleh Datuk Razalif Mohamad Zain apabila melihat kewangan kelab yang teruk sebagai faktor utamanya untuk membantu dan mengatur urus semula kelab.

“Sebagai orang Pulau Pinang saya tidak mahu melihat anak-anak negeri ini terbiar kerana kelab terpaksa ditutup sebab masalah kewangan jadi saya ambil keputusan ini untuk mengambil alih kelab ini.

Datuk Razalif ketika berhadapan media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

“Saya mengambil inisiatif ini untuk menjaga semula kelab ini dan membawa kelab ini ke peringkat yang lebih jauh dengan bajet RM3.5 juta buat musim ini dan akan membawa masuk dua pemain import selepas ini,” katanya ketika sesi pengenalan pasukan.

Perkara pertama yang dilakukan oleh Razalif adalah dengan membawa pasukan menjalani latihan selama tujuh hari di Dubai untuk menghadapi tiga perlawanan persahabatan.

Tiga kelab yang akan diuji adalah Royal FC Dubai, Al Bathia dan Khalba FC yang sudah pasti akan memberikan pengalaman baharu buat para pemain untuk mengharungi baki aksi liga.

Pemain-pemain Bukit Tambun FC bakal dapat pengajaran berguna di Dubai

Selain itu, Razalif juga turut menyatakan dia bakal merombak hampir 70 peratus skuad dengan membawa masuk dua pemain import dari Brazil dan Argentina untuk memperkuatkan pasukan dengan meletakkan sasaran tiga terbaik liga.