KETUA Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard menolak dakwaan pihak ketiga yang mendakwa kelab Ibu Kota itu ‘berhutang’ sebaliknya mahu pihak itu tampil secara terbuka jika benar berminat hendak membeli KL City.

Ini selepas pengerusi dan pemilik pasukan Bukit Tambun FC, Datuk Razalif Mohamad Zain yang mendakwa beliau sudah pun melabur sebanyak RM1.25 juta apabila menawarkan diri untuk membeli kelab Liga Super itu pada 2022.

Stanley yang dihubungi FLASH SUKAN menolak dakwaan itu sebaliknya mengalu-alukan pihak Razalif untuk melakukan pembelian kerana kelab itu sentiasa terbuka untuk menerima pelabur berpotensi yang boleh menjadi pemilik baharu juara Piala Malaysia 2021 itu.

Stanley tepis dakwaan KL City berhutang dengan pelabur berpotensi 

“Semua orang kini dilihat mahu membeli KL City FC. Mengapa mereka tidak tampil ke hadapan dan meletakkan dana yang sepatutnya untuk mengambil alih kelab kerana peluang untuk membeli kelab ini sentiasa terbuka,” jelasnya.

Terdahulu Razalif mengakui berminat untuk menjadi pemilik KL City namun ada beberapa perkara berlaku dan mereka kini dalam proses undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya memang ada terbabit dengan KL City FC tetapi ada beberapa perkara yang sudah berlaku. Kita tetap memberi sokongan kepada mereka tetapi sehingga ke hari ini, apa yang dijanjikan pun tidak dipulangkan lagi.

Razalif mendakwa pernah melabur RM1.25 juta untuk membeli saham KL City FC 

“Tetapi kita pun tidak mahu besar-besarkan cerita itu buat masa sekarang tetapi dalam masa terdekat, kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui di majlis penjenamaan semula Bukit Tambun FC kepada Brotherkita Bukit Tambun FC.

Dalam perkembangan yang sama, Syed Yazid Syed Omar kini diumumkan sebagai Pengarah tunggal Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd dalam fasa peralihan sebelum pemilihan KLFA.

Syed Yazid akan tetap komited kepada kesejahteraan dan kelestarian Kuala Lumpur City FC serta memberikan jaminan masa depan pasukan selain akan terus memupuk budaya kompetitif kerana kelab berhasrat mencapai lebih kestabilan di luar padang serta mengekalkan momentum yang baik di dalam padang.