SETIAP atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 bermaksud mereka sememangnya layak bersaing di pentas tertinggi sukan dunia itu dan wajar diberi sokongan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, menjadi kewajipan semua pihak memberi sokongan kepada setiap atlet, termasuklah kementerian terbabit.
“Tiga atlet yang balik awal termasuk dua perenang yang dapat layak secara wild card, ini bermakna mereka memperoleh peluang untuk menimba pengalaman… ia menjadi peluang buat mereka mendapatkan pendedahan malah mereka masih muda, salah seorang daripadanya mendapat tempat pertama dalam saringan.
“Apabila ada peluang beraksi di Olimpik kita hantarlah. Kita perlu berlaku adil kerana atlet ini sudah berkerja keras dan apabila mereka layak wajar disokong,” kata Hannah, selepas Majlis Pennyerahan Dana dan Town HallSekretariat Rakan Muda Institusi Pendidikan Tinggi (SRM IPT) di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya.
Beliau diminta mengulas mengenai ‘bisik-bisik’ di media sosial yang berdebat mengatakan KBS sepatutnya hanya menghantar atlet berkualiti ke Paris.
Mengulas lanjut, Hannah menegaskan bahawa: “Atlet yang berada di Olimpik adalah mereka yang berkerja keras dan apabila sudah layak, mereka memiliki peluang seimbang 50-50 dengan pesaing lain, sekali gus mereka adalah yang terbaik di Malaysia.
“Apabila bertanding, akan ada kalah dan menang… itulah semangat kesukanan.”
Justeru, beliau menempelak komen-komen negatif di sosial media, yang disifatkan tidak memahami semangat kesukanan.
“Sekarang apabila ada sosmed… sesiapa sahaja boleh bagi pandangan tetapi tak bermaksud semuanya kita perlu layan… kalau nak layan individu buat komen susahlah,” ujar Hannah.
Tiga atlet negara, penembak Johnathan Wong bersama dua lagi perenang, Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin, menjadi atlet negara pertama meninggalkan Paris selepas tersingkir di pusingan awal, namun mereka telah memberi aksi terbaik terutamanya dua perenang yang masing-masing berusia 21 dan 18 tahun.
Dalam pada itu, beliau mengikuti rapat perkembangan tahap keselamatan di Paris dan menegaskan soal keselamatan atlet menjadi keutamaan.
“Saya mahu kita pastikan atlet mengikut peraturan dan saya juga mendapat makluman daripada Chef de Mission, Datuk Hamidin (Mohd Amin) dan MSN (Majlis Sukan Negara).
“Selain itu saya mahu mereka fokus kepada keperluan atlet untuk berada pada tahap prestasi terbaik, jangan lewat ke venue dan menerapkan disiplin yang tinggi.”