PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva berazam untuk meneruskan rentak kemenangan Harimau Selatan apabila berhadapan PDRM FC untuk aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Rabu.
Pemain kelahiran Brazil itu juga mahu terus menjaringkan gol apabila dilihat kembali menemui sentuhan jaringannya apabila meledak hatrik ketika menewaskan Terengganu FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Iskandar Puteri.
Bergson juga meramalkan JDT akan menerima tentangan sengit daripada The Cops, namun dia tetap yakin rakan-rakan sepasukan mampu beraksi cemerlang bagi merealisasikan misi berkenaan.
“Ia satu lagi perlawanan di tempat lawan dan kita tahu sukar apabila kita bermain di sana tetapi kita tidak ada sebarang alasan untuk tidak meraih tiga mata pada perlawanan ini.
“Apa yang penting semua pemain perlu ada motivasi tersendiri bagi memastikan misi membawa pulang tiga mata itu berjaya direalisasikan,” katanya menjelang perlawanan tersebut.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT itu juga gembira digandingkan dengan mana-mana pemain di barisan hadapan kerana dia selesa dan dapat membentuk gandingan yang efektif ketika beraksi di dalam padang.
“Saya gembira dengan siapa pun gandingan di dalam padang sama ada Romel Morales, Heberty Fernandes mahupun Arif Aiman kerana kami bermain secara sepasukan dan semua orang tahu akan kualiti yang kami ada apabila memegang bola,” jelasnya.
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu kini gah menerajui takhta Liga Super dengan 18 mata hasil enam kemenangan berturut-turut setakat ini manakala PDRM FC pula berada pada kedudukan ke-11 dengan empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali daripada lima perlawanan setakat ini.