ATLET papan selaju Jepun, Yuto Horigame mempamerkan ‘trick‘ terakhir yang luar biasa apabila berjaya merangkul pingat emas kategori ‘street‘ menewaskan duo Amerika Syarikat ketika aksi final di La Concorde, Paris.

Kemenangan pingat emas itu juga memperlihatkan Yuto berjaya mempertahankan pingat emas yang diperolehinya di Tokyo 2020 sekali gus bergelar juara berganda Olimpik untuk sukan yang popular di kalangan orang muda ini.

Tambah menarik, dia pada asalnya sudah gagal melayakkan diri ke Paris tetapi pertandingan saat akhir di Hungary menyaksikan dia berjaya mendapat mata merit yang diperlukan untuk bertanding di Olimpik dan selepas itu dia tidak menoleh kebelakang.

Yuto diapit Jagger dan Nyjah bersama pingat masing-masing

“Hadir ke sini selepas bekerja keras selama tiga tahun dan apa yang berlaku untuk hadir di sini menjadikan pingat emas ini lebih bermakna buat saya berbanding ketika memenanginya di negara sendiri sebelum ini.

“Ini kerana saya tidak pasti sama ada dapat layak atau tidak dan sebenarnya saya sudah berputus ada ketika gagal di peringkat kelayakan di China bulan lalu.

“Kemudiannya saya mendapat tahu ada satu lagi peluang dan jika saya rasakan saya hanya ada 1% sahaja peluang untuk layak, saya hanya fokus kepada 1% itu dan akhirnya saya berjaya dan sehingga kini masih belum percaya yang saya memenangi pingat emas,” katanya.

Horigame melengkapkan ‘trick terakhir’ dengan gerakan Ollie tinggi kepada 50-50 yang berakhir menuruni palang 10 tangga untuk mencipta mata 97.08 sekaligus meletakkan Jagger Eaton dan Nyjah Huston di tangga kedua dan ketiga.

“Ini adalah Olimpik terbaik dengan dua peserta Amerika Syarikat yang menjadikan tahap saingan lebih tinggi. Mereka berdua sentiasa berikan yang terbaik hingga saya tidak yakin sama ada mampu membawa pulang pingat atau tidak,” jelasnya.