KONTINJEN Paralimpik Malaysia kini lengkap dengan 30 orang atlet yang akan ke Paris bagi temasya Sukan Paralimpik 2024.

Atlet tenis berkerusi roda negara, Abu Samah Borhan menjadi nama terakhir dalam kontinjen negara selepas mendapat ‘lampu hijau’  daripada Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) terhadap permohonan Wheelchair Tenis Malaysia (WTM) bagi melayakkannya bermain dalam dua acara (persorangan dan beregu) di Paris Ogos ini.

Ia sekaligus menyaksikan atlet kelahiran Tanjung Malim, Perak yang berusia 39 tahun ini merekodkan penampilan ketiga di pentas Paralimpik selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Pada edisi empat tahun lalu, Abu Samah tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada atlet Belanda.

Sebelum ini Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengesahkan senarai nama 29 pemain yang kini sedang rancak menjalani latihan persiapan sebelum berangkat ke Paris 25 Ogos depan.

Dalam memburu sasaran empat pingat emas kali ini, kontinjen para negara  bakal menyertai lapan acara di Paris iaitu memanah, olahraga, badminton, boccia, berbasikal, angkat berat, renang dan tenis berkerusi roda.