GELOMBANG haba melanda kota Paris pada Selasa sekaligus menggangu kelancaran pelbagai acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik dengan para pengunjung dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak terkena strok haba.

Dengan suhu mencapai 37 darjah Celsius, atlet tennis dan bola sepak diberikan ‘water break‘ manakala atlet BMX berlindung di bawah payung dan kuda-kuda dressage diberikan penjagaan lebih bagi memastikan ianya tidak menjejaskan kesihatan haiwan itu.

Atlet-atlet juga dilihat memakai vest berisi ais serta para penonton membawa kipas elektrik sebagai cara untuk menyejukkan badan dengan pihak penganjur mempunyai beberapa pelan kontigensi yang akan digunakan apabila mendapati cuaca terlalu panas.

Pemain tenis diberikan rehat tambahan 10 minit antara set kedua dan ketiga bagi mengelakkan mereka terkena strok haba manakala atlet-atlet berkuda terpaksa memendekkan waktu latihan supaya kuda mempunyai masa rehat yang mencukupi.

Pihak penganjur juga telah menyediakan lebih 300 pancuran air serta membuka akses kepada tempat yang teduh kepada para penonton di sekitar venue untuk menambah keselesaan menonton.

Atlet-atlet juga tidak gembira dengan keadaan di perkampungan atlet yang dibina tanpa penghawa dingin dan kini pihak penganjur terpaksa memasang 2,500 unit alat penyejuk bagi mengurangkan haba dan menjamin keselesaan atlet.

Bagaimanapun gelombang haba ini tidak akan berpanjangan apabila Jabatan Metereologi Perancis meramalkan ribut petir akan melanda Paris yang akan menurunkan suhu dari 33 ke 27 darjah celcius.